BAHAN SLOT BERSAMA KAUNSELOR

7 Januari,2013- Isnin


Konsep Sekolah Penyayang berteraskan budaya kemesraan dan sayang menyayangi dalam kalangan guru dan murid.
Jelaskan cara-cara anda menghargai kasih sayang guru.

TEMA    : Menghargai kasih sayang guru
ARAH    : Cara


                Dalam mendepani era milennium pada abad ke-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara yang semakin pesat membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Ekonomi negara yang semakin maju ibrata tenggelam sama basah, timbul sama hanyut dengan negara maju lain. Namun, dasawarsa ini generasi muda kurang menghormati guru sungguhpun golongan guru ibarat lilin yang yang sanggup membakar diri. Suffian Astauri ada menyatakan, menuntut ilmu lebih utama daripada solat sunat. Hal ini kerana , menuntut ilmu merupakan bekalan pahala kita di akhirat nanti. Surah Al-Baqarah ada menjelaskan, boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu perkara sedangkan perkara tersebut baik untukmu, boleh jadi kamu menyukai sesuatu perkara sedangkan perkara tersebut tidak baik untukmu. Hatta, tanpa guru tidak lahir golongan cerdik pandai yang mampu memimpin negara ke arah kecemerlangan. Oleh itu, Konsep Sekolah Penyayang yang berteraskan budaya kemesraan dan kasih sayang antara guru dan murid sewajarnya diterapkan di setiap sekolah. Rentetan itu, murid akan lebih menghargai  setiap ilmu yang dititiskan oleh guru. Malahan, terdapat pelbagai variasi uslub dan minhaj boleh diswadaya bagi menghargai golongan guru. Hal ini kerana, guru sentiasa menganggap murid sebagai benih yang baik dilemparkan ke darat menjadi permata yakut yang bersinar cemerlang, dilemparkan ke laut menjadi pulau penuh khazanah.

                Sudah terang lagi bersuluh, prakarsa yang afdal untuk menghargai kasih sayang guru adalah menghormatinya. Tamsilnya, kita mestilah memberi salam dan mengikuti arahan guru pada setiap masa. Hal ini kerana, guru ialah orang yang mencurahkan ilmu dan mengajar kita erti kehidupan tanpa mengenal jemu. Natijahnya, kita akan menjadi orang yang berpengetahuan luas dan bersedia menghadapi krisis kehidupan pada masa akan datang. Murid yang menghormati guru boleh dianalogikan seperti semut merah yang menghormati dan melindungi permaisurinya. Menurut Whittier, apabila kepercayaan terhadap guru hilang, maka matilah orang itu. Surah An Nahl ayat 125 ada menyatakan, serulah ke jalan Tuhan-Mu wahai Muhammad dengan hikmah dan pengajaran yang baik serta berbahaslah dengan cara yang terbaik. Hal ini bermakna, guru merupakan orang yang sepatutnya kita letakkan di tempat yang tinggi kerana agama Islam sendiri meletakkan guru sebagai insan selepas ibu dan bapa. Sekiranya pelajar di Malaysia menghormati guru-guru mereka , maka wujudlah suasana sekolah yang kondusif dan harmonis. Oleh itu, marilah kita menghormati guru yang mengajar kita supaya kita menjadi pelajar yang cemerlang dan berakhlak mulia.

               
                Peribahasa Melayu ada menyatakan, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Oleh itu, sebagai murid, kita seharusnya bersyukur dan sentiasa mendoakan kebahagiaan guru yang telah mendidik kita tanpa jemu. Tambahan pula, mereka sanggup bersengkang mata menanda kertas peperiksaan dan mengadakan kelas tambahan semata-mata mahu melihat kejayaan anak didiknya. Jika kita sentiasa mendoakan kebahagiaan guru-guru kita, ilmu yang kita pelajari akan kekal dan diberkati oleh Allah s.w.t. Imam Abu Hanifah pernah menyatakan, “tidak sekalipun aku solat kecuali aku doakan untuk guruku Hammad dan mereka yang pernah mengajarku.” Hal ini kerana, sebagai umat Islam kita seharusnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam  dan mentaati serta mendoakan guru-guru kita agar kita dapat belajar dengan tenang dan selesa.

                Sebagai remaja yang lagi lebai lagi berjanggut, kita semestinya membantu guru tatkala mereka inginkan pertolongan kita.Hal ini kerana, guru merupakan golongan yang perlu dihormati oleh individu bergelar pelajar. Natijahnya, keberkatan ilmu  akan diperoleh jika menyenangkan hati guru mereka tanpa menggores perasaan mereka. Seyogia, setiap pelajar harus ringan tulang membantu guru-guru mereka. Hal ini bertepatan dengan aforisme, habis kapak berganti beliung. Tanpa sikap ringan tulang, pasti pelajar akan mengalami kesukaran untuk berjaya kelak. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, pelajar yang terbaik ialah pelajar yang sentiasa datang awal ke sekolah membantu guru sesuai dengan peribahasa hanyut dipintasi, lulus diselami dan hilang dicari. Sementelahan, jasa guru terhadap pelajar tidak ternilai dengan harta dan wang ringgit. Sekiranya setiap pelajar berusaha sedaya upaya menbatu guru seperti membawa buku guru dan menyiapkan tugasan mengikut masa yang ditetapkan, segala ilmu akan beroleh keberkatan.
Peribahasa seperti pahat dengan penukul menggambarkan sikap liat dan berat hati dalam melakukan tugasan. Oleh itu , pelajar perlu mengubah sikap dan sentiasa bertindak pantas dalam membuat sebarang tugasan yang diarahkan oleh guru. Menurut Surah Ar Ra’d, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum tersebut yang mengubahnya. Hal ini menunjukkan bahawa, pelajar perlu memiliki wawasan dan visi yang jelas di sekolah. Sikap malas harus dibuang sama sekali dan sikap rendah diri dalam menyiapkan sebarang tugasan yang diberikan oleh guru perlu wujud dalam diri pelajar. Seperkara yang penting ialah, setiap tugasan merupakan amanah yang diberikan oleh guru kepada murid. Manakala sebagai murid, kita perlu berusaha sedaya upaya menyiapkan tugasan yang terbaik untuk diserahkan kepada guru. Sekiranya semua pelajar berintegriti dalam menyiapkan tugasan serta memahami tanggunjawab diri, maka elemen kasih sayang antara guru dan murid semakin terpaut erat.

Sebagai pengitlakan, guru ialah insan yang perlu kita letakkan pada darjat yang tinggi. Guru banyak berkorban masa dan tenaga mendidik kita sehingga berjaya. Albert Einstein sendiri pernah menyatakan, ilmu tanpa agama ialah buta. Hal ini membuktikan kepada kita bahawa, pelajar yang berilmu dan berpengetahuan dalam semua bidang terhasil daripada komitmen dan kerja keras golongan guru. Sebagai murid, kita perlu menjadi seperti burung jentayu yang patah sayap bertongkatkan paruh, patah paruh bertongkatkan dagu, patah dagu bertongkatkan kuku dalam memartabatkan guru-guru kita. Sekiranya semua pelajar menghargai jasa dan pengorbanan guru, maka ilmu yang dipelajari diberkati dan seterusnya menjana modal insan kelas pertama.
                Jika hari ini seorang ulama yang mulia ,
                Jika hari ini seorang peguam menang bicara ,
Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa ,
Semuanya bermula dengan guru biasa ,
Yang mengajar tulis baca.

****************************************************************************************************

No comments:

Post a Comment